Percutian kali ini agak singkat. Cuma 6H5M saja walaupun banyak tempat yang boleh kita pergi. Jadi terpaksalah memilih salah satu tempat dan mengorbankan tempat yang lain.
Antara pilihan yang terpaksa dibuat ialah sama ada nak ke Cervantes atau ke Rottnest Island. Juga antara Albany dan Katanning. Akhirnya kami memilih untuk untuk ke Rottnest Island dan Katanning.
Kalau cuti panjang memang kalau boleh kami nak pergi ke semuanya.
Tempat-tempat lain di luar Perth yang sempat kami singgah ialah Fremantle, Mandurah, Busselton, Margaret River dan Augusta. Juga ke Caversham wildlife Park.
Penerbangan berlepas pada jam 12.05 pagi dan mengambil masa 5 jam 40 minit untuk ke Perth. Apa yang best, Perth dan Malaysia berada dalam satu zon waktu yang sama. Waktu subuhnya juga sama, cuma waktu maghribnya agak cepat iaitu pada jam 5.30 petang. Jadi pagi itu sempatlah kami menunaikan kewajipan dulu sebelum ke tempat kereta sewa.
Proses di imigresen dan kastam pun lancar. Yang penting istihar saja apa yang kita bawa. Semuanya tak ada masalah.
Ada banyak kaunter kereta sewa di ruang ketibaan. Tapi kaunter kereta kami tiada di sini.