Tuesday, July 26, 2011

Percutian ke Chiang Mai Pt 1

Kami sekeluarga selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai mengikut jadual. Penerbangan agak penuh pada hari tersebut di mana sebahagian besar penumpangnya adalah pelancong asing. Saya rasa LCCT ni semakin popular menjadi tempat transit kerana kekerapan penerbangan yang disediakan dan banyak destinasi yang ditawarkan.

Lapangan terbang Chiang Mai, boleh dikatakan lapangan terbang yang agak lama. Ruang ketibaan antarabangsanya juga tidaklah begitu besar.  Satu ketibaan saja sudah memenuhi ruang tempat proses imigresen. Proses pemeriksaan pasport agak cepat dan tidak perlu merekod gambar seperti yang lazim dilakukan walaupun terdapat kamera di depan meja pemeriksaan.


Selesai urusan imigresen, kami ke ruang legar untuk mencari apa-apa info yang sesuai buat kami sekeluarga. Dalam pada kami sibuk melihat-lihat brosur dan lain-lain info, kami didekati oleh seorang kakitangan syarikat telekomunikasi yang membuat promosi berkenaan dengan sim card prepaid. Memang agak murah caj bagi setiap panggilan yang dikenakan. Untuk panggilan ke Malaysia cajnya ialah THB1.5 seminit (15 sen) jika ke telefon tetap dan THB3 (30 sen) ke telefon mudah alih. Ada dua pilihan sama ada mahu sim card yang kosong atau yang sudah di top up kan sebanyak THB100 dengan tempoh panggilan sehingga 70 minit. Jadi kami sambarlah satu walaupun kami di sana sekejap saja.


Oleh kerana sampai agak awal, kami merancang untuk ke tempat lain dulu sebelum ke hotel. Airport Chiang Mai ni kedudukannya agak dekat dengan bandar. Tambang teksi yang dikenakan cuma THB120 (RM12). Mulanya saya agak sudah tentu kena ambil dua teksi sebab ahli keluarga kami seramai lima orang, tapi alhamdulillah kerana teksinya ialah Toyota Innova yang memang cukup besar untuk memuatkan kami semua.

Selesai membayar tambang di kaunter, kami di bawa ke teksi oleh seorang pemandu yang memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad. Dia seorang muslim tempatan yang berketurunan campur (China, Pakistan, Arab dan Siam). Dia boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, jadi ianya menyenangkan urusan. Syukur dapat jumpa dengannya, kerana kami memang tiada jadual khusus untuk trip kali ini, sebab kebiasaannya pakej-pakej untuk trip yang mengambil masa setengah hari memang mudah didapati. Sudah terlanjur berjumpa En Ahmad, saya minta dia mencadangkan tempat-tempat yang kami dapat capai dalam tempoh 3H2M di sana.

En Ahmad mencadangkan kami pergi melawat kawasan industri kraftangan di Borsang Village, Jalan San Kamphaeng sebelum ke hotel kerana waktu untuk check in lambat lagi. Di sini industri utamanya ialah pembuatan payung dan kipas hiasan dalam berbagai saiz dari yang kecil kepada yang sebesar payung warung. Di sini pelawat ditunjukkan cara membuat payung-payung dari proses meraut buluh sehingga payung siap. Boleh dikatakan semua pekerjanya adalah orang yang berumur. Berhampiran dengan bengkel, terdapat kedai yang menjual hasil-hasil keluaran dari bengkel tersebut. Lama juga kami di situ kerana asyik melihat kerja-kerja yang dilakukan. Tambahan THB300 untuk pergi ke sini. Jika pergi secara berasingan cajnya ialah THB100 seorang.


Selain tempat ini kami juga singgah di beberapa lagi tempat lain seperti pusat pembuatan barang perhiasan dari batu permata, yang dikatakan sebagai yang terbesar di dunia. Kami kurang berminat untuk ke sini, tapi dah termasuk dalam laluan, jadi singgah jugalah. Sebenarnya kami sudah pun masuk tempat yang hampir serupa di Bangkok suatu ketika dulu. Mula-mula kita akan di bawa di bahagian pemprosesan. Di penghujung tempat pemprosesan ialah ruang pameran yang terpaksa dilalui oleh semua pelawat sebelum melalui pintu keluar. Bahagian inilah yang paling bosan. Kita bukan nak beli pun, tapi ditunjukkan dengan itu ini yang buat kita rasa kurang selesa. Dah tu jangan haraplah nak ambil gambar.

Oleh kerana hari dah agak lewat dan semuanya dah lapar, kami skip beberapa lagi tempat yang patut dilawati. Dalam perjalanan menuju ke hotel, saya ternampak ada menara masjid disalah sebuah kampung di situ. Saya meminta En Ahmad singgah sebentar di situ.

Masjid yang sempat disinggahi di Jalan San Kamphaeng (atas). Pokok kurma yang disebelah kanan sedang berbuah. Kariah masjid ini kebanyakkannya ialah komuniti China muslim yang berasal dari negara China yang telah bergenerasi tinggal di Chiang Mai.

Hotel Royal Lanna yang terletak di Jalan Loykroh.

Selesai check in kami keluar semula untuk mencari tempat makan. Kali ini kami menapak saja kerana kedai makannya tidak begitu jauh dari tempat penginapan. Destinasinya ialah Restoran Sofia berhampiran Masjid Hidayatul Islam Ban Haw. Masjid ini agak besar dan mempunyai bangunan tambahan untuk kegunaan pelbagai kegiatan keagamaan.


Selesai makan kami berjalan-jalan sekitar Jalan Loykroh sehingga jambatan di Sungai Ping. Cuaca amat-amatlah panas walaupun jam sudah menunjukkan pukul empat petang, dan masing-masing malas nak menyambung rondaan. Kami balik ke hotel  untuk melelapkan mata sebentar kerana pada hari tersebut kami telah bangun seawal jam tiga pagi bersiap-siap untuk ke airport. Lagipun pada malamnya kami nak pergi meronda  night bazar yang terletak berhampiran dengan hotel. Sebelumnya kami telah berbincang dengan En Ahmad ke mana tempat yang patut kami pergi keesokan harinya. Dia cadangkan kami pergi ke Chiang Rai dan Golden Triangle.

Bersambung...

Friday, July 15, 2011

Singgah di Muar

Dalam perjalanan pulang ke kampung tempoh hari, saya sekeluarga ambil keputusan untuk singgah di bandar Muar kerana dah lama tak pekena mee bandung Muar. Kami keluar melalui plaza tol Tangkak dan berhenti di sebuah restoran yang terletak sebelum bandar Muar.


Restoran ini bukan khusus menjual mee bandung, ada juga  nasi campur dan lain-lain. Suasana restoran nampak tidak begitu ceria tetapi keadaan dalamannya agak bersih dan kakak yang nampak macam penyelia di restoran itu pun cun orangnya. Kami hanya makan mee bandung saja kerana hari agak masih awal untuk makan yang berat-berat. Memang gred A sedapnya, cuma sayang mee nya sikit sangat.

Kedudukan restoran ini amat mudah untuk dicari. Jika kita memandu dari arah Melaka, restoran ini terletak di sebelah kiri jalan selepas saja Sekolah Menengah Sains Muar kira-kira satu kilometer sebelum sampai ke jambatan Muar. Terdapat satu deretan kedai di situ.


Bandar Muar

Dalam perjalanan ke BP, kami singgah sebentar di kilang membuat keropok bawang yang diusahakan oleh kakak di Pekan Simpang Lima. Banyak tempahan yang diterima sempena sambutan hari raya nanti. Menurut kakak, keropok bawangnya boleh bertahan hingga lima bulan tanpa berbau tengik jika diikat dengan sempurna. Selain dari mengusahakan keropok bawang kakak juga membeli kerepek lain dari pembekal secara pukal untuk di pek semula.

Monday, July 11, 2011

Pentauliahan PALAPES di UTHM

Hari Sabtu lepas saya dan cik wife hadir ke majlis pentauliahan PALAPES IPTA seluruh Malaysia. Kali ini UTHM, Batu Pahat telah dilantik menjadi tuan rumah majlis tersebut. Pada mulanya si anak ni macam tak dapat hadir je kerana sedang menjalani latihan industrinya di JKR Elektrik Shah Alam. Tapi alhamdulillah bossnya bagi pelepasan. Dia perlu hadir menjalani latihan perbarisan dan lain-lain aktiviti yang mengambil masa seminggu. Kebetulan pula UTHM ni tak begitu jauh jaraknya dengan rumah di kampung iaitu di Bukit Pasir, jadi tak payahlah nak menyewa hotel.


Upacara pentauliahan ini disertai oleh 14 buah IPTA yang melibatkan tiga bahagian iaitu Palapes Darat, Laut dan Udara. IPTA yang mengambil bahagian ialah UM , USM , UTM, UNIMAS,  UTHM, UKM, UiTM, UUM, UMS, UPM, UPSI, UNiMAP, UPNM, dan UMT. Anak saya AZ, mewakili UTM.

Upacara dimulakan seawal 7.30 pagi dimana ibubapa dan tetamu mengambil tempat di padang kawad. Cuaca agak baik pada hari tersebut. Acara di padang kawad selesai lebih kurang jam sepuluh lebih. Peserta diberikan rehat setengah jam sebelum acara penyampaian tauliah di adakan didalam dewan pada jam sebelas pagi.


SPBYD Agung sepatutnya hadir di upacara tersebut, tapi disebabkan ada demonstrasi bodoh di KL, baginda tak dapat hadir. Penyampaian sijil pentauliahan dilakukan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Hampir 1200 orang pelajar dari tiga cawangan Darat, Laut dan Udara menerima tauliah dengan pangkat Leftenan Muda.


Dewan acara hanya dapat memuatkan pelajar saja, jadi ibubapa dan tetamu diletakkan di ruang legar dan disediakan monitor khas untuk mengikuti siaran langsung. Acara selesai pada jam 2.30 petang dan hanya selepas itu baru pelajar dapat berjumpa dengan ibubapa dan makan tengah hari yang disediakan oleh pihak universiti masing-masing di kawasan terbuka.

Sempena dengan acara pentauliahan ini diadakan satu pameran ketenteraan bersebelahan dewan yang disertai oleh pihak tentera dari semua cawangan.


UTHM boleh dikatakan sebuah universiti yang agak baru dan prasarananya sedang pesat dibangunkan. Universiti ini terletak di kawasan yang mendatar dan tidak berbukit-bukit seperti kebanyakan universiti lain.


Pada petangnya saya sekeluarga terus ke UTM Skudai kerana nak mengangkut balik ke rumah barang-barang palapes AZ yang tidak akan digunakan lagi. Tahun akhir nanti dapatlah memberi tumpuan  lebih kepada kuliahnya kerana tiada lagi latihan palapes yang banyak mengambil masa sama ada pada hujung minggu dan waktu cuti semester.