Monday, March 28, 2011

Percutian ke Bukittinggi Pt 3

Kota Padang

Perjalanan diteruskan menuju ke Kota Padang yang mengambil masa lebih sejam dari Padang Panjang. Sampai di Kota Padang kami singgah makan tengah hari di Restoran Sederhana iaitu sebuah restoran masakan khusus Padang.



Satu perkara jika makan nasi padang di sini ialah kita akan dihidangkan dengan segala jenis lauk yang ada di restoran tersebut. Kadang-kadang boleh mencapai lebih dari sepuluh jenis lauk. Caj akan dikenakan bagi setiap lauk yang dimakan walaupun sedikit. Jadi kalau tidak mahu dicaj mahal jangan sentuh lauk-lauk yang kita rasa tidak perlu. Minuman yang dihidangkan biasanya ialah air teh tawar.


Ada sahabat blogger yang mencadangkan untuk mencuba makan sate Padang apabila ke sini. Jadi kami cuba memesan sedikit sate lembu. Memang berlainan sekali rasanya dari segi daging yang diperap dan kuahnya. Memang tidak kena langsung dengan selera semua ahli rombongan kami. Cukuplah merasa secucuk seorang.

Sate Minang

Kesan Gempa Bumi di Padang

Masa yang ada di Padang agak terhad kerana kami cuba untuk sampai di Bukittinggi sebelum waktu malam. Jadi kami meminta pemandu kami, Pak Bobi untuk membawa kami  meronda-ronda sekitar kota Padang untuk melihat kesan-kesan runtuhan akibat gempa bumi yang berlaku pada tahun 2009. Gempa berskala 7.6 Richter ini berpusat 57 km barat laut bandar Pariaman pada kedalaman 71 km. Bandar Pariaman terletak kira-kira 60 km dari Padang.






Menurut pemandu kami, kesan kemusnahan akibat gempa bumi itu seakan mempunyai jaluran tersendiri. Ada sebaris bangunan yang musnah dengan teruk sedangkan bangunan bersetentang dengannya kelihatan seperti tidak terjejas langsung. Masa yang diambil agak panjang untuk membangunkan semula kota Padang seperti keadaan sebelum kejadian.

Thursday, March 24, 2011

Percutian ke Bukittinggi Pt 2

Batusangkar dan Padang Panjang.

Bangun awal pagi kerana waktu solat subuh di sini lebih kurang pada jam 5.00 pagi. Kami bercadang keluar untuk membuat lawatan seawal yang boleh kerana lokasi yang akan dilawati adalah di luar kawasan Bukittinggi. Cuaca agak baik pada hari ini. Sarapan yang disediakan hanya bermula jam 7.00 pagi. Selepas bersarapan van mula bertolak ke destinasi pada jam 8.00 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih sejam melalui jalan berbukit dan sempit walaupun jarak tempat yang kami lawati hanya lebih kurang 50 km sahaja dari Bukittinggi dengan pemandangan yang cantik.

Sawah berteres adalah pemandangan biasa di sini kerana keadaan rupa bentuk muka buminya yang berbukit.

Lokasi pertama yang kami singgahi ialah Istano Basa (Istana Besar) atau Istana Pagaruyung yang terletak di Batusangkar. Istana ini merupakan objek pelancongan yang terkenal di Sumatra Barat. Kami merupakan kumpulan pelancong pertama yang sampai ke sini pada hari tersebut.

Istana ini masih lagi dalam proses pemulihan setelah terbakar akibat disambar petir yang memusnahkan sebahagian besar bahan-bahan sejarah yang terdapat di dalamnya. Apa yang dapat dibuat hanyalah mengambil gambar dan berehat sebentar di sini.




Destinasi seterusnya ialah Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau yang terletak di Padang Panjang. Ia merupakan pusat penyimpanan artikel dan segala hal tentang dokumentasi kebudayaan Minangkabau. Bahannya adalah dalam bentuk  buku-buku, foto dan mikrofilem. Bumbung rumah adat Minangkabau yang dipanggil Rumah Gadang memiliki rupa bentuk yang unik kerana ia menyerupai tanduk kerbau. Terdapat juga prinsip-prinsip tertentu yang perlu dipatuhi dalam pembinaan rumah adat ini. Bagi mereka yang tertarik dengan kebudayaan Minangkabau, pusat ini sangat sesuai untuk dijadikan tempat rujukan dalam membuat penulisan. Rombongan kami sampai di sini hampir serentak dengan satu rombongan dari Malaysia yang datang dengan bas pelancong.

Tipikal rumah adat yang berbumbung seperti tanduk kerbau


Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau di Padang Panjang
Di kiri dan kanan rumah terdapat bangsal yang digunakan untuk menyimpan benih-benih padi.

Di rumah ini pelawat-pelawat diberi peluang untuk mencuba pakaian tradisi Minangkabau dengan dikenakan sedikit bayaran.

Tuesday, March 22, 2011

Percutian ke Bukittinggi Pt 1

Hari Pertama - Pekanbaru ke Bukittinggi

Biasanya kalau hendak ke Bukittinggi orang akan memilih untuk mendarat di Padang, Sumatra Barat kerana ianya lebih hampir. Rombongan kami pula memilih untuk mendarat di Pekanbaru, iaitu di dalam wilayah Riau. Pergi bersama keluarga adik ipar, rombongan kami adalah seramai 9 orang. Berlepas dari LCCT pada jam 4.00 petang dan sampai di Lapangan Sultan Syarif Kasim II Pekanbaru pada jam 3.50 petang waktu Indonesia (perbezaan waktu adalah satu jam).

Melalui autogate imigresen LCCT KLIA dengan lancar.

Lapangan terbang ini sedang dalam proses pembesaran dan pengubahsuaian jadi keadaannya agak kurang teratur. Balai ketibaan antarabangsa yang ada sekarang terlalu sempit dan hanya boleh memproses satu ketibaan sahaja pada satu-satu masa. Itupun terpaksa bersesak-sesak. Melepasi kawasan imigresen ialah ruang kastam dan tempat pengambilan bagasi yang juga sangat kecil.


Sebaik keluar dari lapangan terbang, kenderaan yang ditempah sudah menunggu iaitu sebuah van  yang boleh menempatkan seramai 10 orang penumpang yang akan membawa kami terus ke Bukittinggi. Perjalanan dari lapangan terbang ke Bukittinggi mengambil masa lebih kurang 5 hingga 6 jam bergantung kepada keadaan cuaca. Perhubungan dari Padang ke Bukittinggi adalah melalui jalan yang melintasi kawasan pergunungan. Kemungkinan untuk membina lebuhraya adalah agak mustahil. Jalannya pula agak sempit dan berliku. Kebanyakan rumah-rumah di sepanjang jalan ini dibina begitu hampir dengan jalanraya kerana tidak terdapat kawasan landai yang lebar untuk membina rumah kecuali kawasan yang menghampiri pekan atau bandar.


Oleh kerana perjalanan yang agak jauh, rombongan kami berhenti rehat makan di satu kawasan yang dinamakan Kelok Indah iaitu satu kawasan selepas menempuhi banyak selekoh (di sini dipanggil kelok) di sempadan antara Wilayah Riau dan Wilayah Sumatra Barat. Kelok Indah masih terletak di Wilayah Riau.

Kerana kelaparan habis licin semua lauk-pauk yang dihidangkan. Makan bersama pemandu kami iaitu Pak Bobi yang di sebelah kiri.

Perjalanan diteruskan melalui jalan yang lebih mencabar iaitu melewati kawasan yang dinamakan kelok sembilan.  Di sini kenderaan terpaksa menuruni kawasan bukit hingga ke bawah dan kemudian naik semula ke bahagian yang satu lagi dengan selekoh-selekoh yang tajam. Itulah satu-satunya jalan yang ada untuk ke Bukittinggi melalui Pekanbaru.  Walaubagaimanapun satu laluan pintas kawasan ini sedang dalam pembinaan yang akan memudahkan perjalanan pada masa hadapan.



Foto diambil dalam perjalanan pulang dari Bukittinggi ke Pekanbaru kerana pada waktu pergi keadaan sudah gelap.

Rombongan kami selamat sampai di Bukittinggi pada jam sebelas malam dalam keadaan hujan. Hotel penginapan ialah Hotel Ambunsuri yang terletak tidak jauh dari Menara Jam Gadang. Satu rombongan dari Malaysia yang mengadakan persembahan kebudayaan Minang juga menginap di sini.


Suhu di sini tidaklah sesejuk seperti di Cameron Highlands dan hotel-hotel di sini masih terpaksa menggunakan penghawa dingin untuk menyejukkan bilik-biliknya. Jadi sesiapa yang bertujuan datang ke sini tak payahlah memenuhkan beg dengan baju-baju sejuk.