Monday, January 17, 2011

Dari New York ke Paris

Biasanya apabila menghantar anak pulang ke UTM, tempat penginapan kami ialah di bandar Johor Bahru. Hotel yang paling kerap dikunjungi ialah Hotel New York. Bukan tiada rumah saudara mara di sekitar JB, tapi kami tak mahu menyusahkan mereka.

Harga yang sederhana, tempat meletak kenderaan yang luas dan berhampiran dengan banyak tempat makan antara faktor yang menyebabkan kami  memilih hotel tersebut. Hotel ini juga terletak di jalan yang tidak sebuk. Tetapi kedudukannya agak jauh dari Skudai. Jadi, kami  cuba mencari alternatif lain yang lebih berdekatan dengan UTM iaitu di kawasan Skudai atau Tampoi. Kami cuba meronda di sekitar Taman Bukit Indah kerana di situ khabarnya ada banyak tempat shopping. Kebetulan pula di situ ada sebuah hotel yang agak bagus.

Jadi untuk mengubah angin kami sekeluarga telah memilih untuk menginap di Hotel Pariss yang terletak di situ. Hotel ini dikelilingi oleh kawasan perumahan dan pusat membeli-belah seperti Kompleks AEON Jusco, Giant dan Tesco yang terletak berdekatan di antara satu sama lain. Boleh dikatakan kawasan yang agak meriah. Tempat untuk menjamu selera juga banyak terutama di medan selera yang terdapat dalam kompleks beli-belah tersebut.

Jadi jika anda ke Johor Bahru singgah-singgahlah di sini kerana semuanya ada. Cara ke sini dari utara ialah dengan mengambil susur persimpangan Taman Perling. Lepas membayar tol, kira-kira setengah kilometer, ambil susur keluar di sebelah kiri. Hotel Pariss terletak di sebelah pasar raya besar Giant.

Foto Pasar Raya Besar TESCO Bukit Indah dari tingkat sembilan Pariss Hotel

Saturday, January 1, 2011

Kilim Geoforest Park

Terdapat dua jeti berlepas untuk ke Kilim Geoforest Park. Jeti pertama terletak berhampiran muara sungai di Pantai Tanjung Rhu dan jeti kedua terletak di Kampung Kilim. Kami memilih untuk berlepas dari Pantai Tanjung Rhu kerana dapat melalui perjalanan yang lebih panjang.

Pantai Tanjung Rhu

Jeti berlepas Tanjung Rhu

Terdapat pelbagai set pakej perjalanan yang disediakan untuk jangka masa yang berlainan iaitu dari satu jam hingga empat jam. Disepanjang perjalanan kita akan disinggahkan atau berhenti di beberapa tempat tarikan di sepanjang sungai. Diantara tempat tersebut ialah kesan kilang pembuatan arang dari kayu bakau, melihat helang menyambar makanan, gua buaya, gua kelawar, tempat ternakan ikan dalam sangkar dan akhir sekali keluar melalui kawasan pulau-pulau di laut terbuka.


Aktiviti pertama ialah melihat helang menyambar makanan di satu kawasan khas. Dari helang inilah Langkawi mendapat namanya. Helang ini adalah binatang yang dilindungi kerana bilangannya yang semakin berkurangan. Makanan yang diberikan ialah kulit ayam kerana ianya boleh terapung untuk memudahkan helang menyambar. Namun tabiat pemakanan inilah sebenarnya yang menyumbangkan kepada bilangan yang semakin berkurangan kerana makanannya mempunyai kadar kolesterol yang tinggi. Kaedah lain sedang dicari untuk mengubah diet pemakanannya. Lagipun helang yang sudah terbiasa dengan cara pemakanan seperti ini tidak dapat mengaplikasikan cara kehidupan semulajadi.


   

Gua Buaya ialah sebuah gua yang terdapat di laluan sungai dan bot boleh masuk melauinya jika air tidak pasang tinggi. Jika pasang tinggi terpaksa melalui jalan lain dan terlepaslah peluang untuk melihat keadaan dalamnya. Panjang laluan ini kira-kira 30 hingga 40 meter. Menurut pemandu bot, memang terdapat buaya di kawasan ini. Kita juga akan disinggahkan di Gua Kelawar yang terletak di tepi sungai. Penumpang terpaksa turun untuk melihat keunikan yang terdapat di dalam gua tersebut. Lampu suluh akan dibekal untuk setiap kumpulan kerana ada kawasan yang agak gelap. Laluan memang tidak disediakan lampu kerana terdapat  spesis kelawar yang mendiami gua ini.


Diantara aktiviti lain ialah memberi makan ikan di sangkar-sangkar yang banyak dibina di sepanjang sungai. Kami memilih untuk memberi makan ikan pari (stingray). Ikan pari ialah ikan yang tidak mempunyai gigi dan makan dengan cara menyedut, jadi tak perlu takut untuk digigitnya. Cara untuknya datang kepada kita ialah dengan mengocakkan air dengan berbekalkan umpan sotong atau ikan.


Di sinilah berakhirnya lawatan ke Kilim Geoforest Park Mangrove Tour berhampiran laut terbuka. Jika keadaan laut tidak berangin dan cuaca baik pemandu bot akan menggunakan laluan laut terbuka untuk kembali ke jeti, jika keadaan sebaliknya terpaksa berpatah balik melalui laluan yang sama.