Monday, March 1, 2010

Sedikit tip jika ke Cameron Highlands


Biasanya jika kita ke Cameron Highlands apa yang selalu dibeli adalah buah strawberi dan juga teh. Buah strawberi yang dibeli di ladang harganya agak mahal. Jika mahu harga yang lebih murah beli saja di pasar malam di pekan Brinchang. Begitu juga buah yang di campur dengan krim dan gula untuk di makan di ladang, harganya memang mahal. Beli saja krim di pasar raya dan buat sendiri apabila balik di hotel penginapan. Memang berbaloi lebih-lebih lagi kalau kita pergi dengan ahli keluarga yang ramai.

Jika mahu membeli teh, terutama yang berperisa buah-buahan belilah dari Ladang Teh Bharat atau cawangan kedainya di pekan Tanah Rata, kerana ianya dibungkus secara pek-pek yang berasingan dan boleh disimpan lebih lama walaupun harganya mahal sedikit. Ada teh yang agak serupa dan harganya lebih murah tetapi dibungkus dalam satu bungkus sahaja dan rasanya pula kurang umph!


Antara makanan yang tidak didapati di tempat lain ialah jagung mutiara. Rasanya manis dan boleh dimakan mentah. Satu lagi makanan yang saya tertarik untuk membeli ialah keledek madu. Rasanya manis dan lemak walaupun saiznya agak kecil. Cukup sedap walaupun direbus saja. Tak perlu ditambah gula. Selalunya apabila ke sini  tak terlintas langsung untuk membelinya. Harganya pun agak murah iaitu RM5 sekilo.

Jika mahu melawat sesuatu ladang bunga atau kaktus, elakkan untuk masuk ke kawasan yang berbayar. Sudahlah tempatnya sempit, benda-benda yang ada di dalam kawasan itu semuanya ada terdapat di luar. Antara tempat yang boleh dilawati ialah Cactus Valley yang terletak berhampiran pekan Brinchang. Tempat meletak kenderaannya agak luas hingga sampai ke puncak bukit! Tapi perlu berhati-hati jika turun kerana jalannya agak sempit dan berselekoh.

Kawasan tempat menjual sayur-sayuran di Kea Farm berhampiran Hotel Equatorial sudah agak tidak begitu menarik lagi. Kedai-kedai pun nampak usang, dan untuk meletak kenderaan sangatlah susah, lebih-lebih lagi jika cuti sekolah. Untuk membeli dengan lebih selesa pergi saja ke kedai-kedai baru yang lebih tersusun yang banyak terdapat di sepanjang jalan menuju ke sana. Harga pun tak jauh bezanya.